Tuan Ibrahim mohon maaf dakwa titah Agong disedia kerajaan



Kuala Lumpur: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) memohon maaf di Dewan Rakyat, berhubung dakwaannya bahawa titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan.

Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekittar dan Air berkata, beliau memohon maaf sekiranya timbul kekhilafan terhadap dakwaannya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, minggu lalu.

"Saya sudah memberi penjelasan berhubung kekhilafan berlaku dengan Speaker... saya fikir ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu penting.


"Saya fikir sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan kita terus kepada agenda lebih penting untuk kepentingan rakyat," katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Tuan Ibrahim selepas isu itu dibawa RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan mengenai Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan Tuan Ibrahim membuat sangkaan jahat bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan.

"Inilah semangat yang kita ada...saya sudah jumpa Kubang Kerian (Tuan Ibrahim)...pemahaman kita berbeza namun apa yang disebutkan beliau saya sudah dimaklumkan," katanya.


Minggu lalu, persidangan Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Tuan Ibrahim mendakwa, titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan dan dibawa ke Kabinet sebelum diluluskan. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram