Wan Saiful didakwa terima rasuah RM7 juta



Ketua Penerangan Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah berhubung dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta.

Sehubungan itu, pemimpin PN itu memohon dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di hadapan hakim Azura Alwi.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan”, kata Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000. 


Wan Saiful, 48 juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek sama.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azura kemudian membenarkan Wan Saiful diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap dua bulan sekali sehingga kes selesai.


Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 22 Mac ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan antara RM500,000 hingga RM1 juta terhadap Wan Saiful kerana ia melibatkan kesalahan yang serius.

“Tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan dan tidak berisiko untuk melarikan diri. Kami mohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya minggu pertama pada setiap sebulan,” kata Wan Shaharuddin.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Wan Saiful memohon jaminan rendah diberikan antara RM200,000 dan RM300,000.

Hisyam berkata tujuan ikat jamin adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan pihak pendakwaan sendiri telah mempertimbangkan tertuduh sebagai individu yang tidak berisiko serta telah memberi kerjasama kepada SPRM.

"Kedua-dua bank akaunnya (Wan Saiful) telah dibekukan oleh SPRM. Isteri beliau tidak sihat dan menjalani kemoterapi serta memerlukan wang bagi rawatan itu,” katanya.


Hisyam turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya untuk melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali berbanding sebulan sekali.

Wan Saiful turut diwakili peguam Takiyuddin Hassan dan Rosal Azimin Ahmad.

Di mahkamah sesyen berasingan, ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah rasuah berkait projek Jana Wibawa.

Tertuduh yang juga Timbalan Ketua Bersatu Segambut, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan. Sebutan kesnya ditetapkan pada 23 Mac.

Sementara itu, hadir sama hari ini adalah beberapa pemimpin Bersatu, termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan naib presidennya, Radzi Jidin.


Wan Saiful, dan Adam Radlan dilaporkan ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula jika tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik sebagai berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin sebelum ini juga mengesahkan dia  sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram