Anwar 'agak dukacita' tak dapat bertemu Raja Arab Saudi, Putera Mahkota



Perdana Menteri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini berkata negara itu sebagai rakan utama bagi Malaysia di Timur Tengah.

Anwar pada sidang media di Jeddah dipetik Bernama berkata hubungan Malaysia dengan Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam masih terjalin begitu baik.

Sementara itu, Anwar berkata pimpinan Arab Saudi juga sebenarnya telah memohon supaya dia memanjangkan kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.

Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.


“Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhi, termasuk pertemuan yang dijdualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja,” katanya.

Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

Perdana menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini.

Sepanjang lawatan rasminya, Anwar diiringi Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam.


Anwar juga menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

Selain itu, dia turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi

Anwar dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram