KUALA LUMPUR – Penasihat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan kepimpinan seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najin Razak yang banyak memberikan duit (bantuan rakyat) sana sini.
Bagaimanapun kata bekas Perdana Menteri itu, wang yang diberikan itu menyebabkan kerajaan akan berhutang berbilion trilion ringgit dan hanya mampu membayar ‘bunga’ sahaja saban tahun.
“Dia (Anwar) hendak cari duit di mana? Tiap-tiap tahun kita hanya bayar faedah RM40bilion berbanding hutang kita. Belum pokok lagi. Jadi bila kita hutang lagi, kadar faedah akan naik lagi.
“Mana hendak dia cari duit itu? Kutipan cukai meningkat tetapi tidak cukup untuk belanja tambahan.
”Anwar ini macam Najib juga, bagi duit sana, bagi duit sini. Tapi duit itu datang dari mana? Itulah bebanan hutang yang kita kena tanggung,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat PUTRA hari ini.
Tun Mahathir mengulas tentang pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Anwar baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tun Mahathir turut menyoal apakah yang telah dilakukan oleh Anwar bagi terus membantu masyarakat Melayu terutamanya dalam membasmi kemiskinan.
“Apa yang Anwar buat setakat ini untuk orang Melayu? Bila kita kata orang Melayu miskin, orang Cina juga miskin. Saya ingat lagi masa saya kecil, orang Cina dan Melayu sama-sama miskin. Tapi bila kita merdeka, Cina nampak peluang dan mereka berjaya dengan terlibat dengan ekonomi.
“Melayu hanya tanam padi dan tangkap ikan sahaja. Melayu tidak maju, yang maju adalah orang Cina kerana dapat peluang yang banyak. Jadi jika kita hendak atasi kemiskinan tidak kira kaum, saya fikir dalam usaha itu untuk orang bukan Melayu sahaja.
“Masalah orang Melayu ini hanya akan terpelihara dan tidak terpinggir jika hanya ada parti atau pemimpin yang mempunyai semangat kemelayuan masalah orang Melayu akan terbela. Masalah orang Melayu ini banyak.
Join our Telegram Channel