KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi atau campur tangan dalam proses pendakwaan membabitkan kes berprofil tinggi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata setiap pendakwaan kes berprofil tinggi di mahkamah, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya secara profesional dan berintegriti.
"Setakat ini, tiada kompromi dari segi mutu pendakwaan yang dijalankan di mahkamah bagi kes berprofil tinggi.
"Oleh itu, adalah tidak benar untuk mengatakan terdapat campur tangan dalam perkara ini," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang mahu mengetahui apakah jaminan kerajaan untuk tidak campur tangan dalam urusan mahkamah terutama terhadap kes mahkamah berprofil tinggi.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, setiap keputusan untuk mendakwa mana-mana individu yang dibuat oleh Peguam Negara adalah berdasarkan keterangan yang mencukupi dan mantap, selaras kuasa Pendakwa Raya yang diperuntukkan oleh Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan sama ada untuk mensabitkan atau melepaskan mana-mana orang yang dituduh terletak pada budi bicara mahkamah berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mahu mengetahui perkembangan siasatan dakwaan kempen Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) turut dibiayai dana daripada syarikat perjudian, Azalina memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan.
"Untuk makluman Yang Berhormat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tindakan mengkaji dan meneliti maklumat berkaitan untuk dibangunkan sebagai asas penyiasatan SPRM," katanya.
Menjawab tindakan kerajaan terhadap dakwaan politik wang pada PRU-15 yang dikemukakan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Azalina berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil maklum mengenai dakwaan dan laporan isu pemberian wang semasa pilihan raya lalu dan jika dilakukan ia adalah perbuatan rasuah.
"Terdapat beberapa kes berkaitan isu seumpamanya telah diambil tindakan undang-undang melalui pemfailan Petisen Pilihan Raya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel