Kerajaan tidak perlu takut ambil tindakan terhadap Mahathir − Nazri



KUALA LUMPUR: Tindakan tidak membenarkan perhimpunan melibatkan mana-mana kaum bukan perkara baharu sebaliknya sering dilakukan ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Mohamed Nazri, ketika itu kerajaan tidak mengizinkan permit perhimpunan diberikan atas alasan ia boleh membawa kepada rusuhan hingga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya adalah sebahagian dari jemaah menteri ketika Mahathir menjadi perdana menteri sebelum ini.

“Mungkin atas faktor usia, Mahathir sudah lupa ketika dia mengetuai kerajaan pun ada banyak perhimpunan yang melibatkan kaum yang tidak dibenarkan.


“Jangan cuba nak tunjuk konon demokratik sangat dan pertikai pentadbiran orang lain,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata beliau pelik dengan sikap Mahathir yang sangat prihatin dengan nasib orang Melayu ketika sudah tidak ada kuasa.

Sebaliknya jelas beliau, ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir memperlekeh orang Melayu dengan melabelkan sebagai malas.

“Masa ada kuasa 22 bulan, perlekeh dan hina orang Melayu, kata orang Melayu malas.

“Sekarang bila sudah tidak ada kuasa, sudah kalah teruk dan hilang deposit dalam pilihan raya, nak tunjuk konon dialah yang paling prihatin kepada orang Melayu.


“Tidak ada orang Melayu yang mahu percaya cakap Mahathir lagi,” katanya lagi.

Mohamed Nazri juga menggesa agar kerajaan mengambil tindakan atas Akta Hasutan terhadap Mahathir.

Hujah beliau, apa yang dilakukan Mahathir ini adalah cubaan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.

“Kerajaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir biarpun dia bekas perdana menteri.

“Kalau zaman Mahathir jadi perdana menteri, siapa yang nak buat perhimpunan nak tegur kerajaan akan dianggap mahu lawan pemerintah.


“Zaman dia, mereka ini akan ditahan di bawah ISA. Tak percaya tanya Ibrahim Ali,” katanya.

Dalam satu sidang media pada Ahad, Dr Mahathir mendakwa perhimpunan Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dianjurkan disebabkan campur tangan kerajaan.

Dalam sidang media itu Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan hari ini takut untuk mendengar suara orang Melayu.

Bagaimanapun, Mahathir tidak memperincikan dakwaannya atau memberikan sebarang bukti wujudnya campur tangan kerajaan berkenaan perkara itu. − Awani


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram