Lepaskan jawatan Presiden Bersatu? Tunggu pertuduhan dulu – Muhyiddin



PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu meletakkan jawatan selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diputuskan selepas pertuduhan dibuat keatas dirinya esok.

Bekas perdana menteri itu berkata; “Tunggu (sama ada letak jawatan Pengerusi PN dan Presiden Bersatu).

“Saya belum didakwa dan lepas itu kita akan buat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas keluar dari perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 8.20 malam ini.


Muhyiddin meninggalkan perkarangan SPRM pukul 8.35 malam bersama-sama kumpulan peguam yang diketuai Datuk K. Kumaraendran dan pembantu khas beliau.

Ditanya sama ada beliau ditekan ketika sesi soal siasat, Muhyiddin berkata, sesi itu dijalankan dengan tenang dan profesional.

“Makan masa sedikit. Mereka agak berhemah tidak ada kasar dan saya fikir mereka ambil masa untuk melihat satu persatu dan mereka buat rekod dan semak balik.

“Barulah bersetuju dan saya tandatangan sebab itu yang ambil masa. Saya rasa tidak ada tekanan dan saya amat menghargai kerjasama pegawai SPRM,” katanya lagi.


Untuk rekod, SPRM akan mengemukakan tujuh pertuduhan terhadap Muhyiddin daripada dua siasatan iaitu berkaitan isu kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan rayuan pembatalan cukai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Ahli Parlimen Pagoh itu akan menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram