MP PAS Besut diusir dari dewan, digantung tiga hari



Gara-gara gagal mengikut arahan agar duduk kembali di tempatnya, Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) diarah keluar dari Dewan Rakyat hari ini.

Tidak cukup dengan itu dia juga digantung daripada memasuki Dewan Rakyat selama tiga hari.

Sebelum itu Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor mengarahkan Che Zulkifly duduk di tempatnya sebanyak tiga kali ketika timbul sedikit kekecohan di yang melibatkan pembangkang dan wakil kerajaan.


Bekas ahli parlimen Umno bagi penggal 2013-2018 sebelum bertanding sebagai calon PN dalam PRU lalu terlibat dalam pertikaman lidah di antara Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh.

Tindakan dia mencelah dalam pertikaian tersebut dan enggan mematuhi arahan Ramli akhirnya dikenakan tindakan penggantungan berkenaan.

Bagaimanapun bekas hakim mahkamah sesyen itu jelas tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.


"Saya dah duduk dah, kenapa keputusan (dibuat) selepas (itu)?" katanya.

Dia hanya akur selepas Ramli meminta bentara Dewan Rakyat mengiringi Che Zulkifly keluar. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram