Kuala Lumpur: Polis akan memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu siasatan berkaitan siasatan yang dijalankan ke atasnya berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis kini sedang dalam proses untuk memanggil Muhyiddin serta saksi-saksi berkaitan.
"Siasatan kini sedang dijalankan dan usaha untuk menghubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa saksi lain sedang dilakukan.
"Ada yang sudah dihubungi dan ada yang masih dalam proses tindakan (akan dihubungi), namun ketika ini kebanyakan mereka terbabit dalam sesi sidang Parlimen," katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, polis dilaporkan membuka satu kertas siasatan terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
A Asmadi dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.
Katanya, siasatan dijalankan susulan satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, semalam.
Laporan polis itu berhubung satu video tular di media sosial berkaitan sidang media Muhyiddin selepas beliau didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A Asmadi berkata, siasatan dilakukan atas kandungan kenyataan Muhyiddin dalam video berdurasi 11 minit 11 saat yang dikatakan mempunyai unsur fitnah terhadap pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara itu.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, satu laporan polis dibuat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan terhadap Muhyiddin.
Laporan polis berkaitan kenyataan oleh Muhyiddin yang mendakwa kes mahkamah terhadapnya ada campur tangan politik.
Katanya, kenyataan yang dilemparkan itu adalah satu tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif yang tidak baik terhadap Perdana Menteri. – Hmetro
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel