Nazri cadang kerajaan guna ISA pada Mahathir



Bekas ahli parlimen Umno, Nazri Abd Aziz, menggesa tindakan di bawah Akta Hasutan diambil terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana kritikan bekas perdana menteri itu terhadap kerajaan.

Kata Nazri apa yang dilakukan Mahathir sekarang jelas bertujuan untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan sedia ada.

“Kerajaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir walaupun dia bekas perdana menteri.

"Semasa zaman Mahathir (sebagai perdana menteri), sesiapa yang mengadakan perhimpunan mengkritik kerajaan dianggap menentang pentadbiran, dan dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


"Kalau anda tidak percayakan saya, tanya Ibrahim Ali," katanya seperti dilaporkan Astro Awani, merujuk kepada presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Ibrahim adalah antara individu yang pernah ditahan di bawah ISA melalui Op Lalang yang kontroversi pada 1987. Ketika itu Mahathir menjadi perdana menteri untuk kali pertama.

Bagaimanapun selepas lebih 35 tahun Mahathir dan Ibrahim kini bekerjasama dalam Putra. Ibrahim menjadi presiden manakala Mahathir menjadi penasihat parti itu.

Nazri berkata demikian susulan kenyataan Mahathir bahawa wujud campur tangan kerajaan di sebalik pembatalan tempahan lokasi untuk penganjuran Proklamasi Orang Melayu yang dirancangnya Ahad lalu.


Bekas ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Nazri yang juga kini berkhidmat sebagai duta Malaysia ke AS berkata menyekat berlangsungnya perhimpunan bukanlah perkara baru bagi Mahathir kerana dia sendiri berulang kali melakukan perkara itu sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

“Saya adalah sebahagian daripada kabinet Mahathir ketika dia menjadi perdana menteri.

“Mungkin kerana faktor usia, Mahathir lupa bahawa banyak perhimpunan berkaitan kaum dilarang kerana dikhuatiri menimbulkan rusuhan,” kata Nazri.


Justeru tegas Ketua Umno Padang Rengas itu lagi, Mahathir perlu berhenti bercakap soal demokrasi dan mencerca pentadbiran semasa kerana dia paling tidak layak berbuat demikian.

Nazri juga mempersoalkan kebimbangan Mahathir secara "drastik" terhadap orang Melayu yang sebelum ini dilabelnya sebagai pemalas.

“Semasa dia berkhidmat sebelum ini (sebagai perdana menteri PH), dia persenda dan menghina orang Melayu dengan mengatakan mereka pemalas.

“Sekarang dia kehilangan deposit pilihan raya dan hilang kuasa, dia nampak seolah-olah dialah penyelamat yang diperlukan masyarakat.

“Hakikatnya, orang Melayu sudah tidak mempercayai Mahathir lagi,” kata Nazri. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram