Pemimpin fasik, tak adil tunggu masa untuk jatuh – Hadi



KUALA LUMPUR – Presiden Pas menyifatkan tindakan zalim dengan mengheret dalam kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kemudiannya mereka bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap kawan yang akrab atau penyokongnya walaupun sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan.

Kata beliau, ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya tiba-tiba kes tersebut dihentikan.

“Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya.


“Hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman.

“Kadang-kadang, nasihat yang benar dianggap salah kerana mempertahankan kezaliman yang nyata,” katanya tulisan terbaharunya Minda Presiden hari ini.

Menurut Abdul Hadi, nasihat yang diberikan bagi membetulkan kesalahan dan menginsafkan golongan yang zalim adalah kewajipan orang-orang yang beriman khususnya apabila perkara yang berkait dengan tugas melaksanakan amar makruf dan nahi munkar menjadi suatu perkara larangan.

Katanya, semua itu boleh berlaku berpunca daripada pelantikan pemimpin yang bersifat dengan perkara yang telah dinyatakan amarannya oleh Rasulullah SAW.


Beliau berkata, Ibn Khaldun ada menegaskan, masyarakat madani yang bercirikan kezaliman maka kerajaannya sedang mengalami tanda-tanda akan ditamatkan ajal bukan tanda kekuatan.

Malah, ujarnya, orang yang zalim itu tetap boleh ditamatkan riwayatnya walaupun mereka seorang yang paling kaya dan kuat bala tenteranya.

“Seseorang pemimpin wajib bersifat adil dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul, tidak bersifat fasik. Fasik bermaksud melakukan dosa besar atau dosa kecil secara berterusan serta tidak bermaruah tinggi, beriman dan budiman.

“Bahkan, Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran akan berlaku perkara buruk kepada umatnya khususnya apabila mereka melantik pemimpin daripada kalangan penipu dan pembohong kerana kedua golongan itu bersifat fasik..


Jelas Abdul Hadi lagi, Rasulullah SAW juga memberikan amaran sifat negatif akan berlaku kepada  mereka yang bertaraf pemimpin yang telah dipilih oleh manusia.

Katanya, kadang-kadang ia berlaku tanpa disedari kerana ditutup oleh penipuan khususnya pada zaman kini yang mengandungi banyak media fasik yang menyebarkan maklumat salah ‘sehingga memenuhi ufuk’.

“Kita juga sedang mengalami akibat pelantikan pemimpin bersifat dengan pelbagai sifat yang dilarang oleh Rasulullah SAW iaitu melakukan pembohongan yang berulangan, penipuan yang kerap kali berlaku dan janji yang tidak ditunaikan.

“Ada kalangan yang dinamakan ‘Amanah’ tetapi tidak bersifat amanah sebenar. Mereka melantik orang fasik seperti pelantikan yang dilakukan melalui rasuah, janji manis yang menggoda dan pelbagai lagi godaan menarik nafsu cinta akan dunia dan lupa akan akhirat,” katanya. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram