'Puteri Sarah jangan risau, saya takkan pisahkan anak-anak dengan awak' − Syamsul Yusof



Kuala Lumpur : Syamsul Yusof, 39, tidak akan sesekali memisahkan anak-anaknya, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4, dengan Puteri Sarah Liyana dan meminta isteri pertamanya itu tidak bimbang.

Syamsul berkata, dia akan memastikan dua anak mereka itu akan mendapat penjagaan sewajarnya daripada kedua-dua belah pihak.

"Sarah jangan risau. Saya bukan ayah yang kejam akan mengambil anak daripada ibunya. Saya tidak begitu, ini antara kita, saya dan awak. Anak-anak pula kita jangan libatkan," katanya.


Syamsul berkata, dia faham Puteri Sarah membuat tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) sebelum ini kerana bimbang dia akan mengambil anak mereka selepas Syamsul memfailkan permohonan nusyuz, kelmarin.

Syamsul berkata, dia memfailkan nusyuz itu kerana berasa difitnah dengan dakwaan memukul Sarah dan tidak memberi nafkah.

Katanya, dia sudah tidak mampu bertahan lagi dengan dakwaan yang tidak berasas itu.

Dalam masa sama, Syamsul menegaskan dia masih sayangkan Puteri Sarah dan mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.


Syamsul berkata, walau seburuk mana pun isterinya sama ada Puteri Sarah atau isteri kedua, Ira Kazar, dia tidak kisah kerana mereka adalah di bawah tanggungjawabnya.

Syamsul berkata, sebagai suami dia sedar perlu menggalas tanggungjawab membimbing isteri-isterinya walaupun diri tidak sempurna. Cuma, diharapkan agar masih ada ruang untuk perbincangan sesama mereka dapat dibuat.

"Saya harus bimbing dia (Puteri Sarah) walaupun saya tidak sempurna, saya tetap kena bimbing dia juga. Saya masih mengharapkan lagi untuk kita berbincang macam mana. Bukan dengan cara pergi mahkamah dan uar-uarkan di media sosial.

"Macam seronok sangat. Adakah ini satu hiburan kepada Sarah? Dan, jangan lupa saya masih suami dia lagi walau apapun. 'At the end of the day' (Di penghujung hari) saya akan tidur dengan dia di atas katil. Bukan dengan wartawan, bukan dengan netizen," katanya.


Syamsul dalam sidang media yang dihadir lebih 20 wakil media itu berkata, ia dilakukan kerana mahu memberi penjelasan bagi pihaknya yang selama ini hanya berdiam diri dengan kemelut yang berlaku.

"Ada jalan yang lebih baik daripada kita nak terus membuka aib sesama sendiri. Ini bukan satu pertandingan (hal rumah tangga). Selepas itu, dia pula begitu dan dia begini. Jadi, benda ini akan lebih buruk.

"Cerita rumah tangga, urusan dalam kain. Betul-betul dalam kain dan saya juga boleh cerita, cuma bezanya saya dengan Sarah, saya tidak memilih untuk pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Tengok ini, korek. Itu dendam kesumat semata-mata," katanya. − Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram