Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, tindakan pihak tertentu yang menghantar barangan berupa ekstrak ganja kepadanya adalah sia-sia dan suatu 'pembaziran'.
Katanya dia tidak menerima kiriman tersebut walaupun dialamatkan kepadanya.
Sebaliknya bahan terlarang tersebut diambil oleh pihak berkuasa.
"Saya tak terima pun... orang hantar ganja (kemudian) polis datang ambil, itu saja.
"Buang duit sajalah hantar hantar kepada saya... saya tak ambik ganja," katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Semalam media melaporkan polis Sepang merampas bungkusan disyaki ubat gigi dengan ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti, dekat Putrajaya.
Kejadian berlaku pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata rampasan itu dilakukan susulan maklumat daripada laporan seorang petugas pejabat kerajaan di Putrajaya yang menerima panggilan memaklumkan ada satu bungkusan atas nama dua ahli politik tersebut.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, disyaki bungkusan itu mengandungi barang terlarang dan pada minggu lepas juga pejabat kerajaan tersebut menerima satu bungkusan yang mengandungi daun ganja,” katanya.
Susulan itu, katanya, polis telah pergi ke hab kurier berkenaan dan merampas barang kes iaitu tiub ubat gigi dengan bercorak daun ganja yang tertera tulisan Happy Green yang ditemui dalam satu bungkusan kotak berwarna coklat.
Selain Rafizi, barangan tersebut turut dialamatkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Rafizi sama ada dia atau Anwar, mereka tidak terbabit dalam pengambilan ganja.
"Saya tak buka bungkusan itu sendiri. Ia dialamatkan kepada PM dan saya (tapi) tak ada seorang pun antara kami mengambil ganja, jadi ia sia-sia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel