Suami isteri didakwa perdagang seksual anak OKU



BUTTERWORTH – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan mereka bagi tujuan eksploitasi seksual pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh lelaki berusia 63 tahun yang merupakan bapa tiri mangsa dan ibu kandung mangsa berusia 40 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusoff.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa memperdagangkan gadis OKU pembelajaran berusia 21 tahun bagi tujuan eksploitasi seksual.



Penganggur dan tukang urut wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pangsapuri di Jalan Tembikai 2, Bukit Mertajam antara pukul 6 petang hingga 10 malam pada Januari hingga 14 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau dipenjara sehingga lima tahun dan boleh disebat.



Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan selain perlu menyerahkan pasport.

Kes disebut semula pada 20 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram