Tiada faedah PN terima Pejuang, kata penganalisis



PETALING JAYA: Seorang penganalisis menolak kemungkinan Pejuang membawa sebarang perubahan kepada kekuatan politik Perikatan Nasional (PN) jika ia menyertai gabungan itu.

Bercakap kepada FMT, Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, Pejuang tidak mempunyai ahli yang cukup mahupun pemimpin yang mengagumkan untuk memanfaatkan PN.

“Dari segi kepimpinan, tiada apa yang boleh dibanggakan,” katanya.

“Dengan Mukhriz Mahathir mengetuai parti, ia tidak mempunyai sebarang faktor ‘wow’.


“Boleh lihat apa jadi pada PRU15. Pejuang bukan sahaja kalah di semua kerusi ditandingi, malah semua calonnya hilang deposit.”

Pada PRU15, Pejuang bersaing merebut 115 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN tetapi tiada calonnya yang memberikan impak kepada pengundi.

Ini termasuk bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, yang berharap dapat mengekalkan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya dalam PRU14 pada 2018.

Bekas perdana menteri itu mengasaskan Pejuang selepas meninggalkan Bersatu pada 2020. Beliau disertai pemimpin Bersatu lain, yang enggan menyertai parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu dalam usaha menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun itu.

Mahathir meninggalkan Pejuang dan baru-baru ini menyertai Putra. Jeniri berkata, ini menunjukkan pengasasnya sudah tidak yakin dengan parti itu.


Seorang lagi penganalisis, James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, permintaan Pejuang untuk menyertai PN adalah sebahagian corak konsisten dalam kalangan parti Melayu sayap kanan.

“PN sedang membentuk gabungan yang akan menjadi payung kepada semua kumpulan sayap kanan Melayu dan Islam,” katanya.

“Satu-satunya faedah jika PN terima Pejuang adalah ia akan dikenali sebagai gabungan yang memperjuangkan ketuanan Melayu.”

Katanya, perkumpulan parti sayap kanan itu bermakna kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim tidak boleh mendakwa mendapat sokongan majoriti Melayu.

“Sebab itu wujudnya satu bentuk ketidakstabilan politik. Di Malaysia, terdapat kepercayaan dalam politik bahawa anda tidak boleh jadi kerajaan yang stabil jika tidak dapat sokongan majoriti orang Melayu.”


Chin berkata, PN mungkin menjadi satu-satunya pilihan bagi Pejuang, memandangkan kecenderungannya terhadap ekstremisme.

“Umno akan menolaknya kerana ia mengejar pengundi Melayu tegar yang sama. Selain itu, Mukhriz juga sudah lama menentang Umno.”

Semalam, Mukhriz berkata, Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon untuk menyertai PN demi memastikan tiada perpecahan undi Melayu pada pilihan raya.

Adun Jitra itu berkata, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram