'Tidak ada satu negara pun yang tidak sambut saya dalam lawatan rasmi' − Tun M



Putrajaya: Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan semua negara menyambutnya dalam lawatan rasmi ketika menjadi Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak pasti mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman dalam lawatan rasmi ke negara itu.

"Ya, Ini lawatan rasmi, saya semasa jadi Perdana Menteri membuat lawatan rasmi di banyak negara… tidak ada satu negara pun yang tidak sambut saya, (malah) disambut oleh ketua negara.


"Saya pun tidak tahu kenapa Raja Arab Saudidan Putera Mohammed tidak mahu jumpa Anwar tapi mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tidak tahu yang menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa Anwar bila dia pergi ke sana.. yang berjumpa Anwar pun pegawai rendah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini

Anwar dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi selama tiga hari, bermula 22 Mac lalu, hanya disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud, dengan upacara sambutan rasmi membabitkan kawad statik.

Dalam kenyataan akhbar sebelum lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Salman dan Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, di Istana Al-Salam.


Dalam pada itu ditanya mengenai Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disokong kerajaan Arab Saudi tetapi ditutup pada 2018, Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memaklumkan tidak mengetahui.

"Saya tidak tahu mengenai penutupan Pusat ini.. yang saya tahu baru ini dilapor bahawa pusat ini telah ditutup, siapa yang tutup saya tidak tahu," katanya.

KSCIP ditutup pada 2018, lebih setahun selepas ia dilancarkan oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika lawatan baginda ke Malaysia pada Mac 2017. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram