JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas meninggal dunia pada Sabtu lepas, manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dipercayai mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata wanita berusia 83 tahun itu mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil sebelum diikuti suaminya satu jam kemudian dengan gejala sama, kira-kira pukul 3 petang selepas memakan ikan tersebut pada waktu tengah hari.
“Kedua-dua pasangan tersebut telah dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang oleh anak mereka yang tinggal berasingan sebelum disahkan meninggal dunia pada 7 malam, hari yang sama.
Kes ini dianggap sebagai keracunan makanan disebabkan ikan buntal. Malah punca kematian diletakkan sebagai keracunan makanan yang diperoleh daripada ikan buntal,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.
Ling berkata difahamkan, ini adalah kali pertama pasangan yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang itu makan masakan berasaskan ikan buntal dengan mendapatkan bekalan daripada penjual secara pra-tempahan menerusi laman Facebook.
Bagaimanapun beliau berkata sehingga kini, tiada laporan baharu diterima berkaitan kes itu dan memaklumkan semua ikan yang dijual pada tarikh berkenaan telah pun diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan bagi tujuan analisis.
“Siasatan lanjut mendapati ikan buntal segar ini diperoleh daripada nelayan di Endau, Mersing sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat dan kemudiannya membuat edaran kepada pelanggan berdasarkan tempahan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel