‘Akan ada kejutan’, kata Tuan Ibrahim berkait laporan bekas pemimpin Umno sertai PAS



PETALING JAYA: Beberapa bekas nama besar dan berpengaruh dari Umno dijangka akan menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, dakwa seorang pemimpin kanan gabungan itu.

Tindakan itu dipercayai bagi melebarkan penguasaan PN di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai mereka – Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang membayangkan perkara itu hanya menyatakan ada “sesuatu berita baik buat PN”.

Sebelum ini, naib presiden parti itu Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata beberapa pemimpin kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai PAS dalam masa terdekat.


“Saya fikir akan ada beberapa kejutan… ada sesuatu berita baik,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT.

“Negara kita ni suka terkejut-kejut, saya nampak macam terkejut belaka.”

Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa bekas pemimpin Umno akan menyertai PAS.

Antara bekas pemimpin Umno dilaporkan berminat menyertai PAS ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa yang dipecat Disember lalu.


Memetik laporan Malaysiakini pada 29 Mac, Annuar yang juga bekas menteri era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri dilaporkan sudah mengisi borang keahlian PAS, namun bercadang mengumumkan penyertaannya selepas Aidilfitri.

Laporan itu tidak menolak kemungkinan Annuar menjadi calon pada PRN nanti.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin slogan “PN Best” yang berjaya menambat hati pengundi di 74 kawasan Parlimen pada PRU15 masih bersama gabungan itu, walaupun beberapa pemimpin utamanya kini berdepan kes mahkamah.

Katanya, majoriti pengundi mereka yang berada dalam kelompok “atas pagar” memahami tuduhan dibuat terhadap pemimpin PN bersifat pendakwaan terpilih, ketika beberapa kes seperti penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) tidak dibawa ke mahkamah walaupun siasatan telah selesai.


“Kita akui pendakwaan ini akan memberi kesan khususnya golongan atas pagar tetapi rakyat faham pertuduhan dibuat (ke atas pemimpin PN) dan bagaimana kes itu,” katanya merujuk kepada empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Muhyiddin berkait program Jana Wibawa bernilai RM232.5 juta.

“Gelombang anak muda masih bersama kita.”

Slogan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ mencetuskan gelombang hijau pada PRU15 yang mana majoriti pengundi gabungan itu adalah anak muda selepas pengundi berumur 18 tahun pertama kali dibenarkan membuang undi. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram