Bekas MB Perlis didakwa kemuka tuntutan palsu lebih RM1 juta



PETALING JAYA: Bekas menteri besar Perlis Azlan Man didakwa atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1.18 juta bagi tiket penerbangan pergi balik, penginapan dan kos pengangkutan di London, United Kingdom.

Menurut kertas pertuduhan, tuntutan dibuat tanpa perjalanan sebenar dilakukan.

Azlan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013 dan 2017.

Dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis.


Azlan dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, dan diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.

Bagi tuduhan pertama, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM230,230 untuk tiket penerbangan pergi balik, penginapan hotel dan pengangkutan di London antara 20 Dis 2013 dan 4 Jan 2014.

Bagi tuduhan kedua, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM216,260 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 20 Nov 2014 dan 18 Dis 2014.

Bagi tuduhan ketiga, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM241,295 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 30 Nov 2015 dan 21 Dis 2015.


Bagi tuduhan keempat, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM253,195 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 8 Nov 2016 dan 29 Dis 2016.

Bagi tuduhan terakhir, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM244,079 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 8 Nov 2017 dan 30 Nov 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai menteri besar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, manakala Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff. − FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram