Berang dituduh jual lemang mentah, peniaga pukul warga emas dengan buluh lemang



MELAKA: Gara-gara berang lemang yang dijual dicampak pelanggan, seorang peniaga lemang di Bukit Beruang, di sini bertindak mencederakan individu itu menggunakan buluh lemang, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa yang merupakan pesara tentera berusia 61 tahun datang ke gerai peniaga berusia 41 tahun untuk menukar lemang yang dibelinya pada siang hari kerana mentah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa menunjukkan lemang yang tidak dimasak dengan sempurna kepada peniaga lemang itu, namun dia enggan melihatnya.


Beliau berkata, peniaga lemang itu kemudian membelah salah satu lemang yang dibeli oleh mangsa dan menunjukkan lemang tersebut masak sepenuhnya sebelum berlaku pergaduhan mulut antara mereka.

Katanya, tindakan mangsa yang mencampak lemang di dalam bekas plastik pada suspek serta merakamkan video menyebabkan suspek 'naik angin.'

"Suspek marah kerana pengadu ada campak lemang yang dikatakan tidak masak kepadanya dan juga merekod video menyatakan gerai tersebut menjual lemang yang tidak masak.

"Suspek kemudian memukul pengadu menggunakan buluh lemang yang telah dipotong," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Christopher, akibatnya mangsa terpaksa menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan di bahagian telinga sebelah kiri dan tangan kanan akibat serpihan buluh lemang.



"Mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka," katanya lagi.

Ujar beliau, suspek ditahan pada Sabtu di tepi Jalan Kota dan sudah dirakam percakapan serta dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular hantaran dipercayai dimuat naik oleh anak mangsa yang mendakwa peniaga itu lemang kurang ajar hingga menyebabkan bapanya mengalami kecederaan dan meminta orang ramai supaya berhati-hati membeli lemang di kawasan itu. − Sinar







Join our Telegram Channel
Telegram