‘Laporan SPRM’ dedah tiga hakim ditukar senyap-senyap sebelum Nazlan dilantik untuk mengadili Najib



KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat didakwa mendedahkan terdapat tiga Hakim Mahkamah Tinggi menolak mengadili perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Dalam laporan yang dibocorkan di media sosial hari ini, memaparkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilantik selepas tiga hakim terbabit menolak berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

“Pada 10 Ogos 2018 YBhg Dato’ Sri Mohd. Najib telah didakwa di mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

“Pada bulan yang sama, selepas tiga Hakim Mahkamah Tinggi menolak bagi mendengar kes YBhg Dato’ Sri Mohamad Najib Razak YA Dato’ Mohamad Nazlan Bin Ghazali telah dilantik untuk mendengar kes ini.


“Sebelum ini YA adalah merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dan ini merupakan prosiding kes jenayah pertama yang didengari oleh YA,” kata laporan SPRM pada perenggan 3.5.

Laporan penuh yang didakwa sebagai siasatan SPRM itu dikongsi oleh pemilik akaun Facebook, Lim Sian See dan sebuah portal iaitu Sabahkini.

Sian See mendakwa, laporan SPRM bahawa tiga hakim pernah diminta dan menolak untuk ambil alih kes SRC International adalah satu petunjuk bahawa pilih kasih dalam pemilihan hakim secara manual (ataupun forum/judge shopping) telah berlaku.

“Ini adalah sangat salah sebab pemilihan hakim bagi mana-mana kes sepatutnya dilakukan secara automatik oleh sistem agar tiada tuduhan bahawa hakim-hakim yang lebih cenderung kepada pihak tertentu ditugaskan dengan sengaja untuk mengenakan pihak tertentu.


“Jika hakim yang ditugaskan sebuah kes berpendapat mereka tidak sesuai maka mereka perlu menawarkan untuk menarik diri di mahkamah terbuka.

“Bukan menolak secara rahsia setelah diminta secara rahsia seperti dinyatakan dalam perenggan 3.5 laporan SPRM,” kata beliau.

Dalam laporan bertarikh 20 Februari 2023, selepas meneliti kes tersebut dan mengambil kira kepentingan awam SPRM memperakukan supaya tindakan tatatertib diambil terhadap Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Ini kerana Nazlan gagal mengisytiharkan kepada mahkamah atau ketua jabatan bahawa beliau pernah bertugas sebagai ‘General Counsel dan Company Secretay Maybank’ dalam menghakimi kes SRC International dan terlibat dalam menguruskan berkaitan kelulusan pinjaman RM140 juta kepada Putra Perdana Berhad dan pinjaman RM4.17 bilion kepada 1MDB Energy bagi pengambilalihan TEHSB. – MG










Join our Telegram Channel
Telegram