Lembaga Pengampunan tak bincang permohonan Najib



Lembaga Pengampunan, yang bersidang pagi ini, tidak membincangkan permohonan difailkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Berita Harian melaporkan semasa persidangan hari ini, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentangkan oleh bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri, serta sekretariat lembaga itu.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan bermula jam 11 pagi dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.


"Sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International, baharu sahaja difailkan.

"Petisyen yang difailkan beliau perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung hari ini hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan," kata sumber yang dipetik laporan itu.

Pada 31 Mac, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International.


Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim yang turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan sebelum ini pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. − Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram