Pengarah projek lunyai dibelasah pekerja akibat lewat bayar gaji



PETALING JAYA: Kelewatan membayar gaji menjadi punca seorang lelaki warga Korea dipukul sekumpulan pekerja di sebuah tapak pembinaan Kota Kinabalu semalam.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki berusia 53 tahun yang juga pengarah projek pembinaan di sebuah syarikat swasta itu mengalami kecederaan lebam dan bengkak.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis dan akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam dan bengkak di beberapa anggota badan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, susulan laporan itu polis menahan dua suspek dan dua lagi sedang dikesan kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.


“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas sekumpulan pekerja itu tidak berpuas hati dengan kelewatan pembayaran gaji,” katanya yang menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Tambahnya, beberapa video yang memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe menasihatkan pekerja untuk tidak memilih kekerasan bagi menyelesaikan masalah di tempat kerja termasuk masalah gaji.

“Semua pihak tidak seharusnya menyelesaikan masalah seperti ini menerusi kekerasan kerana ia tidak membawa kepada sebarang penyelesaian. Semua pihak harus duduk berbincang untuk mencapai penyelesaian,” katanya dalam kenyataan.


Phoong berkata, kejadian berlaku pada 1.15 petang semalam di pejabat Shinsung E&G, dalam tapak projek SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Shinsung E&G adalah sub kontraktor untuk Hyundai Engineering, kontraktor utama projek SK Nexilis untuk membina kilang pengeluaran keranjang tembaga di KKIP.

“Kejadian berlaku akibat kelewatan pembayaran gaji oleh Shinsung E&G. Gaji sepatutnya dibayar pada 5 April tetapi atas masalah dalaman bayaran ditangguh kepada 18 April,” kata Phoong.

Katanya, pekerja yang kecewa dengan kelewatan itu mendesak gaj mereka dibayar segera dan menjadi agresif. − FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram