PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata tidak pernah melihat surat dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Hakim Nazlan Ghazali.
“Surat SPRM? Tidak (tidak mengetahui kewujudan surat itu sepanjang menjadi perdana menteri)… saya tidak tahu, saya hanya baca di media sahaja.
“Saya pun tak jelas surat itu mengenai apa. Perincian surat itu pun saya tidak tahu,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, Azalina Othman Said berkata, siasatan SPRM terhadap Nazlan menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu, berkata ini berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.
Paparan surat yang dikatakan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib menyemak sabitan dan hukumannya.
Surat itu, yang bertarikh 20 Feb, menyatakan bahawa siasatan SPRM mendapati “terdapat isu salah laku” oleh Nazlan yang “perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara”.
Pada 24 Feb lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Nazlan.
Siasatan itu susulan dakwaan bahawa sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan telah dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata agensi penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Tular surat laporan siasatan hakim Mohd Nazlan
- ‘Laporan SPRM’ dedah tiga hakim ditukar senyap-senyap sebelum Nazlan dilantik untuk mengadili Najib
- Tengku Maimun terima laporan penuh siasatan SPRM sebelum semakan kes SRC ditolak
- Bolehkah Maimun tolak siasatan SPRM semata-mata tidak suka?
- SPRM dapati Nazlan langgar Kod Etika Hakim, kata Azalina
- Bolehkah Ketua Hakim Negara dilucutkan dari jawatan?
- Saya tak tahu surat SPRM berkait hakim Nazlan, kata Ismail
Join our Telegram Channel