Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan terlibat dalam ikrar sokongan yang dibuat sekumpulan pelajar pada majlis jamuan Hari Raya yang diadakan di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar baru-baru ini.
Ahli parlimen PAS itu berkata dia hanya menyediakan tempat dan makanan, sedangkan aturcara majlis dikendalikan oleh para pelajar.
“Tak ada kaitan kedua-dua program itu jamuan raya diuruskan oleh mahasiswa, saya sediakan tempat dan makanan sahaja, atur cara dan kandungan mahasiswa atur sendiri, termasuk dikatakan ikrar tu.
“Sayapun tidak tahu ada ikrar, saya cuma bersedia untuk jawab soalan-soalan daripada mahasiswa selain daripada itu saya tidak tahu apa-apa,” katanya seperti dipetik FMT.
Sanusi: Rumah terbuka Madani, PM kempen PRN
Majlis yang berlangsung pada 17 April lalu itu anjuran kerajaan Kedah dengan sokongan Persatuan Mahasiswa Darulaman (Persada) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).
Majlis dihadiri para pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, Program Matrikulasi Malaysia dan mahasiswa universiti, diketuai oleh Gamis.
Pada majlis itu, para pelajar diminta berdiri dan mengucapkan ikrar sokongan kepada Sanusi.
"Kami, mahasiswa Kedah akan mempertahankan dan menyatakan sokongan kepada YAB menteri Besar Kedah,” kata pengacara itu sebelum melaungkan "takbir."
Sementara itu, pada sesi soal jawab di majlis berkenaan seorang pelajar menyoal bagaimana mereka boleh menyokong Sanusi terus menjadi menteri besar Kedah pada pilihan raya negeri akan datang.
Sanusi memberi jawapan jika pelajar berkenaan mahu dia menjadi menteri besar maka mereka perlu memberikan kemenangan kepada PAS yang akan melantik pemimpin mentadbir Kedah.
Sanusi berkata bukan menjadi amalan PAS untuk meminta-minta jawatan.
Jelasnya, dia tidak akan meminta untuk dipilih semula sebagai menteri besar Kedah kerana ia terpulang kepada pemimpin PAS.
Namun, jika diberi peluang dia berikrar akan melakukan yang terbaik.
Pada majlis sama itu juga, Sanusi mendakwa sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan satu bentuk kempen menjelang pilihan raya negeri.
Rumah terbuka Madani akan diadakan di enam negeri yang dijangka mengadakan pilihan raya tahun ini, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, dan Selangor.
Join our Telegram Channel