Wanita tular halang kereta di lampu isyarat bertengkar kerana bimbang kesihatan suami



PETALING JAYA: Wanita yang menghalang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, bertindak demikian kerana bertengkar dengan suaminya.

Timbalan Ketua Polis Port Dickson, Muhamad Mustafah Hussin, berkata kejadian berlaku akibat kebimbangan wanita berusia 32 tahun itu terhadap kesihatan suaminya yang baru sahaja mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson.

“Kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia tampil di Balai Polis Port Dickson jam 4.15 petang ini untuk memberi penjelasan sebenar kejadian yang berlaku selepas mengetahui ia tular di media sosial.


“Pasangan itu yang tinggal di Port Dickson memberitahu, sebelum kejadian mereka bertengkar di rumah kerana si suami hendak ke rumah anak mereka di Teluk Kemang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suami yang berusia 58 tahun itu memandu kenderaan keluar dari rumah tanpa menghiraukan isterinya.

“Wanita itu kemudian membonceng motosikal ditunggang jirannya dan mengesan lelaki itu di persimpangan lampu isyarat berkenaan. Dia bertindak menghalang kereta dipandu suaminya yang mahu meneruskan perjalanan,” katanya.


Katanya, pasangan itu memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan mengakui ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 35 saat menunjukkan seorang wanita menghalang sebuah kereta Proton Wira yang bergerak di persimpangan lampu isyarat. − FMT




ARTIKEL BERKAITAN:
 
Join our Telegram Channel
Telegram