Annuar mohon masuk PAS, KJ ‘bersama PN’



PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa sudah memohon menyertai parti itu.

Katanya, hasrat Annuar itu akan disusuli perbincangan lanjut.

“Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk sertai PAS dan kita memang terima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin Umno untuk sertai PN (Perikatan Nasional).

“Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka (bekas pemimpin Umno) itu, kita dalam proses untuk selaraskan kemasukan,” katanya menurut Berita Harian.


Annuar sebelum ini menafikan sudah bersara dari arena politik tanah air, sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.

Beliau bagaimanapun berahsia mengenai parti mana akan disertainya, sekadar menegaskan akan memilih parti ‘berhaluan baik’.

Takiyuddin yang juga ketua whip PN, berkata lebih 20 bekas pemimpin Umno dikatakan berminat menyertai gabungan berkenaan.

“Mereka boleh sertai mana-mana parti dalam PN, sama ada PAS atau Bersatu. Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin Umno, termasuk Khairy Jamaluddin,” katanya.


Mengulas berhubung sama ada bekas pemimpin Umno itu akan diberikan kerusi menjelang pilihan raya negeri, Takiyuddin berkata, “bergantung pada keadaan”.

“Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN, sama ada mereka akan diberi kerusi (pada PRN) adalah proses kedua. Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka akan diberikan kerusi untuk bertanding PRN nanti,” katanya.

Mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai PN, beliau memaklumkan, bekas ketua Pemuda Umno itu ada memberi maklum balas.

“Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita, namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan Umno dan PH. Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita,” katanya. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram