Gerakan tukar kerajaan: Sudah-sudahlah, titah Sultan Johor



Sultan Ibrahim Sultan Iskandar beranggapan khabar angin mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan di luar pilihan raya sekali lagi perlu dihentikan segera.

Melalui kenyataan dibuat di Facebook malam ini Sultan Johor itu bertitah baginda berasa bimbang dengan desas-desus berkenaan walaupun pilihan raya umum (PRU) sudah enam bulan berlalu.

Dalam PRU tersebut, titah Sultan Ibrahim, rakyat meletakkan harapan yang tinggi dan memberi undi masing-masing untuk memilih 222 ahli parlimen bagi mengembalikan kestabilan dalam negara.


Namun, titah baginda, sehingga kini semua 222 ahli parlimen terbabit masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.

"Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan (masyarakat) negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.

“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini?" titah Sultan Ibrahim.

Desas-desus mengenai pertukaran kerajaan - atau perdana menteri - mula kedengaran selepas dimainkan sesetengah pihak khususnya selepas PH terpaksa bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan pada tahun lalu.


Mahu bangsa jadi tunggak

Walaupun memiliki kerusi terbanyak hasil PRU ke-15 yang diadakan pada 19 Nov 2022, ia belum mencukupi untuk gabungan berkenaan membentuk kerajaan kerana gagal mendapat majoriti.

Ia mendorong kerjasama dibina di antara PH dan BN di sebalik perseteruan yang panjang di antara kedua-dua parti. Ia kemudian disertai gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.

Bagaimanpun akhir-akhir ini khabar angin itu disemarakkan lagi dengan pelbagai cara. Misalnya hantaran berteka-teki salah seorang pemimpin kanan Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman, semalam.

"Wartawan tanya pasal 126 tu. Saya sebut maaf tiada komen. Just wait & see (Hanya tunggu dan lihat). Saya juga tak pernah cakap itu nombor apa, kan?


"Tapi dulu Anwar (Ibrahim) pun selalu sebut. I have the numbers (saya ada angka)," tulisnya.

Hari ini PAS dilaporkan bekerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi antara pengkritik utama kepada kerajaan.

Menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang parti itu memberikan sokongan kepada Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan Mahathir kerana ia selaras dengan "prinsip asal perjuangan Islam."

"Kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia - tunggaknya pada bangsa dan kaumnya, kerana perjuangan memerlukan tunggak bangsa baru ada kekuatan.


"Kalau tidak, tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas," kata Abdul Hadi.

Menurut Sultan Ibrahim dalam keadaan sekarang ada perkara yang perlu diutamakan oleh semua pihak.

"Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titahnya. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram