Hadi, pemimpin PAS jumpa Dr M, tandatangan 'Proklamasi Orang Melayu' (4 gambar)



Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu dikatakan tampil meyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan mengadakan pertemuan dengan pengasas proklamasi itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu didedahkan pembantu Mahathir Abu Bakar Yahya melalui satu hantaran di Facebook, awal hari ini.

Menurut Abu Bakar, kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan dan Abdul Hadi menandatangani proklamasi berkenaan.

"Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad," katanya pada hantaran tersebut.


Sementara itu, laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’ turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video respons ringkas Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikannya sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.

"Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia - tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

"Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas," kata Abdul Hadi.


Hadir sama dalam pertemuan itu Naib presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Terdahulu Mahathir mahu menganjurkan himpunan ‘Proklamasi Orang Melayu’ sebelum mendakwa agenda itu disekat pihak kerajaan selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.

Bagaimanapun Mahathir tidak mendedahkan sebarang bukti menyatakan wujudnya campur tangan pihak kerajaan berkait perkara itu.

Kemudiannya, kempen ‘Proklamasi Orang Melayu’ digerakkan bekas anggota Parlimen Langkawi itu secara dalam talian. selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.


Sekretariat pergerakan itu dilaporkan berkata, kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.

Sementara itu diminta respons mengenai dakwaan bahawa proklamasi itu bersifat perkauman, Abdul Hadi menegaskan dakwaan itu tidak betul.

"Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun tak pingirkan kaum lain. Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong," katanya. − Mkini












Join our Telegram Channel
Telegram