'King' KL Gangster meninggal dunia



PETALING JAYA: Pelakon, Ridzuan Hashim, meninggal dunia di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Ridzuan, 62, yang terkenal dengan watak “King” dalam filem KL Gangster dikatakan meninggal dunia secara mengejut ketika bersarapan di rumahnya.

“Arwah meninggal sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari tadi di rumahnya di Bandar Tun Razak. Ketika itu, anaknya ada di rumah dan dia sedang bersarapan.


“Dia ‘keras’ dan jatuh dari kerusi, seterusnya anaknya bergegas membawanya ke hospital. Bila diperiksa, pihak hospital sahkan dia dah tak ada (meninggal dunia),” kata anak saudaranya yang juga pelakon, Iman Zulkarnain menurut Harian Metro.

Iman memaklumkan jenazah Ridzuan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat.

Sementara itu, bekas isterinya yang juga pelakon, Didie Alias berkongsi berita duka tersebut menerusi video di Instagramnya.


“Saya nak beritahu kepada semua sahabat dan saudara mara yang mengenali bekas suami saya, Mohd Ridzuan Hashim, dia sudah kembali ke Rahmatullah tadi.

“Kepada sesiapa yang ingin melawat, arwah masih di Hospital Kuala Lumpur. Saya mohon kepada sesiapa yang ada hutang kepada arwah, boleh terus hubungi saya. Ampun dan maafkannya,” katanya.

Ridzuan memulakan kerjaya seninya sebagai model pada 1981 sebelum terjun ke bidang lakonan. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram