Pengampunan Najib: UMNO gesa AMANAH tarik kenyataan atau putus hubungan



KUALA LUMPUR: UMNO Kelantan hari ini memberi kata dua kepada Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad, sama ada memohon maaf atau berdepan penarikan balik kerjasama antara parti di negeri itu.

Kata dua itu disampaikan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, susulan kenyataan dibuat Khalid berhubung isu pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Khalid melalui kenyataan dikeluarkan kelmarin merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Zawawi berkata, rayuan pengampunan yang dibuat terhadap Najib itu adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.


"UMNO Kelantan mendesak Khalid merangkap Pengerusi AMANAH Kelantan memohon maaf secara terbuka kepada UMNO lanjutan kenyataan beliau bahawa itu.

"Oleh itu, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan AMANAH di Kelantan sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan itu yang menyinggung perasaan ahli UMNO keseluruhannya," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Khalid melalui kenyataan dikeluarkan sehari sebelum Lembaga Pengampunan bersidang ini dilapor berkata, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Khalid seperti dilaporkan FMT berkata, UMNO Kelantan perlu menghormati pendirian berbeza AMANAH yang membantah pengampunan diraja diberikan kepada bekas perdana menteri itu.


Malah, beliau berharap hubungan UMNO dengan AMANAH di Kelantan tidak terputus susulan isu pengampunan diraja terhadap Najib Razak.

"Harap-harap tak begitu (putus hubungan) dan mereka hormati hak kita untuk berpendirian berbeza. Kita hormati hak mereka untuk memohon pengampunan dan tidak membantah tindakan mereka memohon (pengampunan).

"Begitu juga kita yakin mereka akan utamakan perjuangan kita bersama untuk menentang ekstremisme agama dan kaum," katanya.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pagi semalam tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan difailkan Najib untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.


Ketika persidangan itu, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.

Susulan itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meminta semua pihak termasuk penyokong bekas Perdana Menteri itu bertenang serta menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan Lembaga Pengampunan.

Beliau berkata, ini kerana setiap persidangan lembaga itu adalah mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara. − Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram