Perjuangan bangsa bukan lagi assabiyah, hebat politik bengkarung Hadi dan PAS − Shahrir



KUALA LUMPUR – UMNO sudah lama membawa perjuangan bangsa dan agama Islam dalam partinya tetapi dikatakan assabiyah oleh Pas.

Begitu juga UMNO terlebih dahulu meletakkan nasionalisme sebagai teras politik namun dituduh bertentangan dengan Islam oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kini, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, kedua-dua perjuangan yang dibawa parti itu menjadi tonggak kepada perjuangan Islam yang kononnya dibawa oleh Pas.

“Dulu, perjuangan bangsa yang dibawa oleh UMNO dikatakan ‘assabiyah’. Dulu juga, nasionalisme teras politik UMNO dikatakan oleh Abdul Hadi bertentangan dengan Islam.


“Sekarang, kata Abdul Hadi, ia menjadi tonggak kepada Islam! (Sedangkan) lama dah UMNO perkatakan iaitu kuat bangsa Melayu, kuatlah Islam,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau mengulas pertemuan Presiden Pas bersama pimpinan pusatnya dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Menurut Abdul Hadi, walaupun Dr. Mahathir mempunyai perselisihan dalam banyak perkara dengan Pas namun kedua-dua pihak mempunyai banyak titik persefahaman.

Bahkan kata Ahli Parlimen Marang itu, titik persefahaman dengan bekas Perdana Menteri itu wajib diambilkira untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu.


Shahrir berkata, beliau tidak terkejut dengan pertemuan itu kerana Abdul Hadi telah menunjukkan minat kepada Dr. Mahathir sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac 2019 lagi.

“Sekarang mereka bertemu kembali dalam Proklamasi Orang Melayu. Sebelum ini, dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 pun bersama dalam Kongres Melayu.

“Juga bersama Dr. Mahathir. Sekarang disusuli pula dengan proklamasi. Pun Dr. Mahathir lagi.

“Hebat, politik bengkarung (chameleon) Abdul Hadi dan Pas,” katanya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram