Razman kantoi tipu, 31 ADUN Perak tampil nafi berpaling tadah



KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak masih lagi kuat dan stabil dengan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong Kerajaan Perpaduan.

Bagi membuktikan kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masih utuh 31 ADUN hadir dalam sidang media Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pagi ini.

Sidang media berkenaan bagi menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria bahawa terdapat ADUN Perak yang akan berpaling tadah sekali gus menyebabkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu akan tumbang.


“Kita perlu tegaskan Kerajaan Negeri Perak bukan sahaja kuat dan stabil, saya nak buktikan ini kita ada sekurang-kurangnya 31 ADUN. Nga Kor Ming ke Jepun dan seorang lagi sedang menuju ke sini.

“Kita ada di sini ingin membuktikan bahawa tidak ada sesiapa di sini, seperti yang dikatakan Razman Zakaria yang berkeinginan untuk bertukar ke sebelah sana pulak,” katanya.

Sementara itu, Shaarani mencabar Razman untuk menyebutkan sekurang-kurangnya empat nama ADUN jika dakwaan beliau benar.

Ini kerana menurut Shaarani, Perikatan Nasional hanya memerlukan hanya 4 ADUN untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.


“Sebab untuk menyebabkan kerajaan tumbang PN perlu ada 4 orang lagi. Dia ada 26, kalau dia dapat mencuri 4 orang daripada Kerajaan Perpaduan. Baru dia boleh menubuhkan kerajaan. Sangat mudah sebut empat nama siapa. Mudah,” katanya.

Shaarani mengingatkan Razman sebagai Ketua Pembangkang beliau perlu lebih bertanggungjawab untuk mengeluarkan kenyataan.

Ini kerana tindakan Razman menimbulkan spekulasi hanya akan menyebabkan pelabur takut dan lari.

“Saya pun pernah jadi Ketua Pembangkang, bila kita hendak keluarkan kenyataan kita kena ambil kira kesan kepada ekonomi negeri.


“Kerana bila digambarkan keadaan negeri yang tidak stabil, digambarkan ada kemungkinan bertukar kerajaan tak ada pelabur yang akan datang ke negeri Perak.

“Sebab kerajaannya flip flop, pertukaran pemimpinnya akan menyebabkan pertukaran polisi. Ia akan mengundang kebimbangan, kekhuatiran dan ketidakyakinan dalam kalangan pelabur,” katanya.

Menurut Shaarani, kerajaan pimpinannya kita bertungkus-lumus untuk menarik seramai mungkin pelabur dan membawa sebanyak mungkin pelaburan ke dalam negeri.

Pelabur akan melabur dengan jumlah besar dan memerlukan masa yang panjang demi mendapatkan semula pulangan.


“Tapi kalau tiga tahun bertukar pemimpin, dua tahun bertukar kerajaan itu tidak akan memberi keyakinan kepada pelabur,” tegasnya.

Terdahulu, Razman dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Melayu sebagai berkata, beberapa ADUN kerajaan datang sendiri berjumpa dengannya ketika khabar angin bertiup kencang mengenai gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Razman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah serta nama ADUN kerajaan yang didakwa berjumpa dengannya itu. − MG



Join our Telegram Channel
Telegram