IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan terdapat usaha untuk menukar kerajaan negeri sedia seperti yang dihebahkan.
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, namun pertukaran kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana pernah berlaku sebelum ini terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurutnya, pertemuan dengan rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga perkara biasa yang tidak boleh dianggap sebagai perjumpaan rasmi untuk menjatuhkan kerajaan.
"Jumpa itu biasalah, apa masalah. Saya jumpa kawan dari UMNO, DAP kita sembang macam biasa. Tapi janganlah menganggap ia bermula dari pihak kami. Siapa yang buat spekulasi dan timbulkan isu ini? Macam cerita you spark you jawab.
"Tak timbul usaha kata ada usaha-usaha di peringkat PN nak membeli dan sebagainya. Kita tak ada duit pun, akaun kena beku, mana ada duit dah. Nak pergi pilihan raya pun tak tahulah," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria mengesahkan pertemuan tersebut berlaku ketika majlis serta program-program dan perbincangan dengan ADUN kerajaan itu berkisar tentang politik semasa di negeri ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa kerajaan negeri Perak pimpinannya kukuh dengan sokongan 32 ADUN sekaligus menafikan desas-desus kononnya berlaku pertukaran kerajaan.
Menerusi laporan media, Razman mendedahkan bahawa beberapa ADUN kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang.
Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimana pun enggan mendedahkan nama ADUN berkenaan dan mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan PN di Perak.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel