Siti Bainun reka cerita Bella kena tumpahan air panas − Hakim



Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini mendapati keterangan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bahawa remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella cedera terkena tumpahan air panas daripada termos semasa ketiadaannya di sebuah kondominium adalah rekaan kerana insiden itu tidak pernah berlaku.

Hakim Izralizam Sanusi dalam penghakimannya berkata keterangan bela diri Siti Bainun menyatakan bahawa pada 6 hingga 9 Mei 2021, dia bersama rakan serumahnya, Noor Marliana Ramlee iaitu saksi pembelaan ketiga, telah keluar dari kondominium di Wangsa Maju untuk bertugas di Rumah Bonda di Setapak.

"Tertuduh menerangkan pada tarikh tersebut, dia telah meninggalkan Bella bersama-sama Yasmin (saksi pendakwaan kelima), Balqis, Aida dan Tulus Jiwa di kondominium tersebut.


"Tertuduh menyatakan semasa sedang bekerja, dia menerima panggilan telefon daripada Yasmin yang menceritakan kejadian pergaduhan antara Bella dan Balqis menyebabkan tumpahan air dari termos ke atas Bella di bilik mendobi di kondominium itu. Namun tertuduh tidak mengemukakan sebarang rekod panggilan yang menunjukkan Yasmin menelefonnya pada masa itu," katanya.

Beliau berkata keterangan tertuduh berkaitan insiden Bella terkena air panas adalah dengar cakap kerana dia tidak berada di tempat kejadian dan tidak menyaksikan kejadian tersebut.

"Yasmin menafikan kejadian itu dan Bella tidak pernah mengesahkannya walau telah dipanggil memberi keterangan. Balkis dan Aida telah ditawarkan kepada pembelaan untuk mengesahkan sama ada insiden kemalangan berkenaan air panas tersebut benar-benar berlaku namun mereka tidak dipanggil oleh pihak pembelaan sebagai saksi ," katanya ketika membacakan penghakiman setebal 12 muka surat.

Hakim itu juga berkata tertuduh sebagai individu yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Sept 2020 untuk memelihara Bella seharusnya memaklumkan serta berbincang dengan Pegawai Pelindung Bella, Mohamad Imran Mohamed Zanyuin (SP12), apabila timbul sebarang masalah.


Beliau berkata tertuduh tidak memaklumkan Mohamad Imran dengan segera mengenai kejadian itu yang dikatakan berlaku dari 6 hingga 9 Mei 2021 namun hanya berbuat demikian pada 24 Jun 2021 melalui aplikasi WhatsApp ketika Bella telah dibawa ke hospital.

"Bagaimanapun, mesej WhatsApp tertuduh kepada SP12 adalah bercanggah dengan keterangan tertuduh bahawa Bella lari ke dapur, berebut sesuatu dengan Balkis dan terkena air panas di bilik mendobi.

"Kegagalan tertuduh memaklumkan kejadian itu kepada Encik Imran dalam tempoh yang munasabah selepas kejadian berlaku dan seterusnya menghantar mesej yang bercanggah dengan kejadian yang dikatakan berlaku, menunjukkan dia mereka-reka cerita berkenaan dengan kejadian air panas tumpah di bilik mendobi," katanya.

Izralizam berkata tindakan tertuduh membawa Bella atau merujuk kecederaan mangsa kepada doktor selepas hampir sebulan kejadian tertumpah air panas yang menyebabkan kecederaan serius kepada remaja itu adalah tidak munasabah.


Beliau berkata ini menunjukkan insiden itu sebenarnya tidak pernah berlaku dan dakwaan mengenainya wajar ditolak.

Katanya tertuduh juga tidak mengemukakan pakar yang boleh menyangkal keterangan beberapa doktor yang merupakan saksi pendakwaan untuk mengesahkan bahawa kecederaan Bella bukan terhasil daripada satu insiden sahaja kerana terdapat luka dan parut pada badan remaja itu.

Siti Bainun, 31, dihantar ke Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Terdahulu, Izralizam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella. − Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram