Sebuah portal berita mendedahkan transkrip perbualan antara salah seorang wartawannya dengan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Noor.
Ini selepas Sanusi mendakwa Free Malaysia Today secara salah memetik kenyataannya berhubung laporan bertajuk 'Sanusi mahu perlembagaan dipinda selepas dakwa Pulau Pinang milik Kedah“ yang diterbitkan portal itu pada Rabu minggu lepas.
Transkrip perbualan itu merupakan tangkap layar perbualan dengan Sanusi menerusi sebuah platform pemesejan.
Ia dikatakan merupakan transkrip penuh kiriman mesej dengan Sanusi mengenai perkara itu. Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.
Dalam perbualan pada 31 Mei itu, Sanusi mengeluarkan kenyataan sebagai respons kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berkata perjanjian perlembagaan pada masa ini telah diperkenankan oleh semua Raja-raja Melayu termasuk Sultan Kedah.
Sanusi dikatakan mendakwa pendapatnya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah disokong oleh kajian akademik dan dokumen sejarah yang 'kuat, berautoriti, absolute (mutlak) dan relevan', dan kemudiannya mempersoalkan mengapa perlembagaan tidak boleh diubah.
"Jika saban tahun kandungan perlembagaan dipinda di parlimen mengikut proses dan prosedurnya, berdasarkan keperluan dan kehendak semasa, mengapa pula satu penemuan yang kukuh hendak diketepikan hanya kerana adalah isu kandungan perlembagaan?
“Sejarah yang dijulingkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan perlu diperbetulkan oleh generasi yang ada kesedaran untuk mengambil tindakan demi kebenaran dan menolak kepalsuan,' katanya.
Berdasarkan transkrip perbualan itu, Sanusi kemudiannya ditanya soalan susulan sama ada pindaan perlembagaan yang dimaksudkannya adalah takrifan negeri-negeri dalam persekutuan Malaysia.
Dia juga dirujuk kepada laporan berita mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh .
Wartawan itu mengemukakan kenyataan Ramkarpal bahawa kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri sudah pun diiktiraf di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 71(1) dibaca bersama Jadual Kelapan menjamin setiap negeri boleh mempunyai kerajaan negeri dan perlembagaan sendiri.
Mengenai perkara itu, Sanusi menjawab bahawa mana-mana bahagian perlembagaan boleh dipinda.
“Apa-apa sahaja kandungan perlembagaan yang boleh dipinda. Kalau ada yang tidak boleh dipinda, akan dinyatakan dengan jelas. Ada juga bab yang boleh dipinda dengan kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu.
“Ramkarpal atau sesiapa sahaja boleh cakap apa sahaja... Bebas beri pandangan, boleh sandar kepada apa saja (bukti), selama tak salah di sisi undang-undang. Begitu juga saya,” katanya dilaporkan berkata.
FMT kemudian menerbitkan laporan beritanya malam itu, yang memetik Sanusi mendesak perlembagaan dipinda bagi menyokong dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Laporan yang sama kemudiannya dipetik oleh media lain termasuk Malaysiakini .
Sementara itu, berdasarkan perbualan itu, wartawan FMT menghantar pautan berita versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sejurus selepas ia diterbitkan dan bertanya kepada Sanusi sama ada laporan itu "okay".
Tiada jawapan diterima daripada Sanusi sehingga malam tadi, selepas sidang media di Alor Setar susulan soal siasat polis terhadapnya.
Menurut laporan New Straits Times semalam , Sanusi mendakwa kenyataannya disalahlapor dan dia tidak pernah mendesak Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menuntut semula Pulau Pinang.
Sebaliknya, Sanusia berkata dia hanya meminta bayaran tahunan kepada Kedah untuk Pulau Pinang dikaji semula sesuai dengan nilai pasaran pada masa
“Mereka menuduh saya melanggar Perlembagaan Persekutuan. Sejak bila meminta nilai pasaran semasa adalah sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan?
“Mereka menuduh saya menggesa pindaan (Perlembagaan). Saya tidak berkata begitu. Saya tidak pernah berkata sedemikian di mana-mana.
“Saya katakan hanya ada dua perkara di dunia ini yang tidak boleh kamu ubah: Al-Quran dan Hadis (Sabda Nabi Muhammad). Saya tidak pernah meminta Perlembagaan dipinda,” katanya dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, wartawan FMT menyoal Sanusi mengenai dakwaan portal berita salah lapor kenyataannya, yang mana Sanusi kemudian menegur wartawan itu.
“You tak faham, saya yang kena. Saya tak pernah tulis suruh pindaan perlembagaan; yang saya tulis benda yang tak boleh dipinda atas dunia ini Quran dan hadis saja.
"Tajuk desak pinda perlembagaan tu kontroversi, too far, out of context (tersasar jauh, di luar konteks), jadi sumber soalan Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan) di parlimen," katanya, berdasarkan perbualan itu.
Sanusi juga berkata dia tidak akan bercakap dengan wartawan tersebut atau FMT secara peribadi lagi.
“Mulai sekarang, tiada lagi mesej peribadi saya dengan kamu (atau) FMT. Bahaya,” katanya.
Join our Telegram Channel