Wee Ka Siong umum letak jawatan



KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MCA Bahagian Johor Bahru dan tidak akan bertanding untuk mempertahankannya dalam pemilihan parti itu kali ini.

Presiden MCA itu berkata, beliau menyerahkan baton kepada Pengerusi yang baharu dipilih oleh ahli parti untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Dalam ucapan terakhir sebagai Pengerusi Bahagian, Ka Siong berkata, perjalanan karier politiknya tidak semua berjalan lancar dan beliau telah melalui pelbagai cabaran, pasang surut dalam politik untuk berada di tempat sekarang.

“Sejak saya menyertai bahagian ini, rakan-rakan dari bahagian Johor Bahru sentiasa menyokong saya.


“Tidak kira sejauh mana atau setinggi mana saya mendaki, bahagian MCA Johor Bahru akan sentiasa kekal sebagai rumah saya,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Bahagian Johor Bahru juga telah menyaksikan banyak detik penting dalam hidupnya, termasuk perkahwinan dan menjadi jurutera bertauliah.

Katanya, ramai rakan-rakan dari bahagian ini telah berkongsi peristiwa penting tersebut hinggalah beliau diberi amanah memimpin parti.

“Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua yang telah memberi kerjasama baik dan berkongsi perjalanan indah ini bersama saya.

“Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga dari lubuk hati saya atas sokongan dan dorongan anda semua selama ini,” katanya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram